Monday, October 6, 2014

Kisah seorang anak kecil

Hari ini aku menerima panggilan daripada salah seorang murid yang hampir 7 tahun aku tinggalkan. Anak gadis kecil yang berasal dari pulau yang pernah menjadi tempat singgahanku 7 tahun lalu. Anak kecil itu kini telah menjadi anak gadis yang dalam fikiranku pasti cantik dan molek seperti ibunya.

Suara anak itu masih lembut seperti dulu. Ketika dia memperkenalkan diri, tiba-tiba hatiku bergetar. Jantung ku berdegup seperti insan yang merindui kekasih. Ketika itulah, hatiku sayu dan ingatan ku kembali merindui saat - saat berada di samping mereka. Pasti sahaja saat itu wajah anak kecil kulit putih mulus terbayang jelas di mataku.

"Hari ini kita akan bercerita tentang ibu dan ayah kamu." Semua anak - anak kelas 5 Usaha bersorak.

Ketika hampir semua murid bercerita girang tentang ibu ayah mereka, terdapat beberapa anak yang diam. Ya, aku ingat sangat situasi itu. Seorang anak kecil mulut terkatup memerhati ku. Aku cuba membantunya tetapi anak gadis itu menggelengkan kepala. Ada dua orang murid yang lain turut menundukkan kepala...aku tahu pasti ada cerita yang disembunyikan oleh mereka. Saat itu aku akur. Aku membiarkan mereka diam. Mungkin esok atau lusa anak - anak itu akan bercerita.

Hari yang sama, anak itu datang kepadaku.

"Cikgu, ayah dan ibuku sudah berpisah. Saya malu untuk bercerita. Saya malu kalau rakan - rakan lain tahu yang ibu dan ayah saya tidak bersama." Ketika itu,  aku tidak dapat membendung perasaanku. Air mataku mengalir tanpa dipaksa. Dan anak kecil itu masih ingin bercerita.

"Cikgu, saya ingin memberitahu cikgu sesuatu."

Aku mengangguk dan mengharapkan anak itu terus bercerita.

"Saya sayangkan ibu dan ayah. Tapi, saya tahu ibu dan ayah tidak akan bersama lagi kerana ibu saya curang."

Aku kedu. Lidah ku kelu.

Ya, sebagai guru aku cuba menyelam perasaannya. Cuba memahami perasaan anak yang baru berusia 11 tahun. Bagaimana anak kecil itu melihat kecurangan ibunya di hadapan mata. Dan akhirnya ketika ibu dan teman lelakinya dicekup, anak itu sebagai saksi.

Ya Allah, lindunglah anak kecil itu dan ibunya.

"Cikgu, saya kini di Klang. Bersama-sama ibu. Ibu masih membujang. Semenjak peristiwa hitam itu, kami tidak balik lagi ke pulau. Dan, saya sudah lama tidak berjumpa dengan ayah."

Ketika dia mengakhiri perbualan, dia benar benar berharap dapat berjumpa denganku.

Ya, janji ku kami akan bertemu. Semoga Allah memperkenankan harapan anak itu. Amin.